KEPUASAN jelas terpancar pada wajah pengendali Selangor, Mehmet Durakovic sejurus pasukannya menewaskan Kelantan 1-0 pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Kota Bharu, malam kelmarin.

Apa tidaknya, Durakovic mencipta sejarah tersendiri selepas percubaan enam jurulatih terdahulu untuk menamatkan badi tidak pernah menang di gelanggang keramat The Red Warriors menemui jalan buntu, sejak 13 tahun lalu.

Kali terakhir, The Red Giants melakarkan kemenangan di Kota Bharu ketika di bawah bimbingan Ken Worden yang menyaksikan pasukannya mencatatkan dua kemenangan iaitu menewaskan Kelantan 4-1 dalam aksi Piala Malaysia dan 1-0 pada saingan liga.

“Sejujurnya, saya fikir inilah persembahan terbaik kami sepanjang tahun ini. Selama 13 tahun Selangor tidak pernah menang di sini (Kota Bharu) dan malam ini kami berjaya menghapuskan badi itu.

“Pemain menunjukkan aksi menakjubkan dan semangat mereka tidak pernah terhenti sepanjang 90 minit. Saya amat gembira dengan persembahan mereka,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.

Menurutnya, kemenangan tersebut membolehkan pasukannya menghidupkan kembali ‘Misi 33’ yang dicanangkan mereka dalam usaha merampas kembali trofi paling berprestij itu setelah kali menjulang kejuaraan, pada tahun 2005.

“Saya tidak kisah Selangor menang 1-0 atau 3-0 sekali pun kerana paling penting adalah kami meraih tiga mata ke atas Kelantan. Kami akan pulang ke Shah Alam dan melakukan persiapan rapi untuk bertemu T-Team selepas ini,” katanya.