PASUKAN
 T-Team memasang cita-cita besar untuk melangkah ke suku akhir selepas berjaya meneruskan rentak kemenangan kedua di laman sendiri dalam kempen Piala Malaysia 2015.

Walaupun menyedari baki dua perlawanan dalam saingan Kumpulan C yang perlu ditempuh (menentang Selangor dan Kelantan) adalah sukar kerana terpaksa bermain di gelanggang lawan, namun pengendalinya Tomislav Steinbruckner yakin dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya.

Jelasnya walaupun sebelum ini pasukannya tewas 0-3 kepada skuad Felda United dalam perlawanan pertama namun pada malam tadi mereka berjaya meleburkan rekod tanpa kalah The Fighters itu dalam perlawanan keempat.

"Saya gembira dengan pencapaian anak buah saya malam tadi. Sebelum ini pada pertemuan pertama Piala Malaysia 2015 antara T-Team dan Felda, mereka menang perlawanan itu. Saya berharap pasukan saya akan mengekalkan persembahan terbaik mereka untuk menghadapi satu lagi perlawanan," katanya selepas perlawanan di sini malam tadi.

Pada perlawanan malam tadi, pasukan T-Team membenam cabaran Felda United 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

T-Team membuka jaringan seawal minit ketiga perlawanan menerusi pemain import dari Uzbekistan, Sadriddin Abdullaev sebelum pasukan lawan bangkit menyamakan kedudukan menerusi menerusi sepakan percuma Zah Rahan Krangar pada minit ke-38.

Harapan T-Team makin cerah selepas pengadil, Mohd Zohri Tajudin menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah, selepas penyerang import Tomislav Busic dijatuhkan pemain pelawat di dalam kotak penalti.

Penyerang import dari Croatia itu mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61.
Kemenangan itu menyaksikan skuad 'The Titans' memintas kedudukan Felda United di tangga kedua kumpulan, dengan kutipan enam mata selepas empat perlawanan.

Katanya, selepas tewas, para pemainnya menunjukkan peningkatan demi peningkatan dalam setiap perlawanan dan mengurangkan rasa terlalu 'hormat' atau 'rendah diri' terutamanya ketika berdepan pasukan yang mempunyai nama besar seperti Selangor dan Kelantan.

Sementara itu, pengendali Felda United, Irfan Bakti Abu Salim pula optimis pasukannya masih berpeluang untuk mara ke suku akhir walaupun tewas kepada T-Team.

"Kita main tiga kali di luar (termasuk menentang T-Team) dan kita hanya dapat dua mata daripada sembilan (mata maksimum).  

"Jadi, kita mengharapkan baki dua perlawanan terakhir ini (menerima kunjungan Kelantan dan Selangor) nanti positiflah," katanya yang percaya kegagalan anak-anak buahnya membendung asakan tuan rumah khususnya mengawal pergerakan pemain tengah T-Team iaitu Sadriddin turut menyumbang kepada kekalahan itu.