loading...
loading...

Saya tidak takut pada Obama!

Saya tidak takut pada Obama!
Gilbert menunjukkan buku penulisannya tentang kezaliman Zionis di Gaza pada sidang media di Pusat Komuniti Bukit Bandar raya, Kuala Lumpur. – Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - 'Saya tidak takut pada Obama! Demikian reaksi aktivis kemanusiaan, Dr Mads Gilbert ketika ditanya soal kelantangannya mengkritik Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berkaitan Palestin.

Menurut Dr Mads yang juga seorang doktor pernah bertugas di Hospital al-Shifa di Gaza, senjata yang dimilikinya hari ini hanyalah pada kamera, mata dan lidahnya untuk mendedahkan apa yang dialaminya kepada dunia.

"Kenapa saya nak takut dengan Obama? Tidakkah kita hidup dalam (sistem) demokrasi? Adakah saya bukan insan yang bebas? Adakah saya tidak mempunyai kebebasan bersuara?

Inilah senjata yang saya ada. Kamera, mata dan lidah saya," katanya pada sidang media sebelum perkongsian tentang pengalamannya sepanjang bertugas di Gaza ketika bumi itu diserang Israel, tahun lalu.

Katanya, sebagai Presiden AS, Obama mempunyai kuasa untuk menghentikan penderitaan yang dilalui rakyat Palestin.

"Jika Obama benar-benar mahu, dia boleh buat seperti yang dilakukan oleh Presiden Kennedy (bekas Presiden AS) apabila Timur Jerman telah menguasai Timur Berlin seperti yang berlaku pada Gaza hari ini.

"Beliau (Obama) boleh menaiki pesawat, terbang dari Kaherah ke Gaza, berdiri di balkoni bandar Gaza dan dia boleh umum kepada seluruh dunia, 'I am Palestinian'. Seperti yang disebut Kennedy di Berlin apabila dia pergi ke Berlin untuk meruntuhkan pengepungan tentera dengan mengatakan 'I am a Berliner'," katanya.

Malah doktor perubatan dari Norway ini juga menggambarkan bahawa jika Obama bermalam di Hospital al-Shifa itu, beliau tidak akan membiarkan apa yang berlaku di bumi Palestin itu berterusan.

"Kenapa saya hantar mesej ini kepada Obama? Kerana...untuk jujur dengan anda, saya rasa mana-mana manusia yang mempunyai hati yang tinggal semalam sahaja di Hospital al-Shifa dan melihat apa yang kami nampak dan lalui sendiri pengalaman yang dialami rakyat sana dengan ribuan kecederaan...jika mereka ada di sana, mereka akan kata 'ini semua tidak boleh diteruskan. Ini mesti dihentikan'.

"Dan Obama ada kuasa untuk menghentikannya jika dia berhenti membekalkan senjata yang bernilai trilion dolar kepada Israel.

"Ini bukan soal agama tapi soal kemanusiaan, kehormatan, hak asasi manusia dan prinsipal asas bagaimana untuk kita memperlakukan orang lain," katanya.

Menggambarkan dirinya sebagai seorang doktor yang aktif berpolitik, Gilbert akhirnya menulis sebuah buku bertajuk 'Malam di Gaza' yang menggambarkan pengalamannya di hospital Al-Shifa pada musim panas lalu.

Dalam sidang media sama beliau sempat berkata bahawa media memainkan peranan sangat penting dalam melaporkan kebenaran kepada mata dunia.

"Media sangat penting ketika ini apabila media arus perdana tidak menyatakan kebenaran terhadap apa yang berlaku di Libya, Iraq, Syria malah di Palestin," katanya lagi.

Previous
Next Post »
loading...