loading...
loading...

Majlis Raja-Raja Melayu Mahu Isu 1MDB Disiasat Dan Diselesaikan Segera



Nampaknya isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semakin 'panas' apabila terbaru Majlis Raja-Raja yang bersidang membuat keputusan mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan terhadap kes ini dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Memetik laporan Bernama, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata, baginda sekalian menitahkan supaya mana-mana pihak yang terlibat supaya memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran,."

"Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

"Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi, bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak, sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara dan sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia," kata Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.

Berdasarkan kenyataan itu juga, Raja-raja Melayu menyuarakan rasa bimbang jika isu ini tidak ditangani secara bijak, kerana jika ia terus berlarutan dengan mengambil masa yang terlalu lama, ia akan menjejaskan kestabila ekonomo negara, memudaratkan kehidupan rakyat jelata dan juga berkemungkinan pula menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.

"Raja-raja Melayu dengan ini, mengingatkan semua pemimpin agar pada setiap masa mendukung prinsip-prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang menurut yang termaktub di dalam Rukun Negara.

"Demi memastikan kerajaan mendapat kepercayaan, pemimpin dihormati, kestabilan politik terus terjamin dan ekonomi negara terus berkembang, semua pemimpin wajib pada setiap masa memastikan keadilan dilaksanakan secara saksama lagi telus berpaksikan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Baginda-baginda sekalian juga meminta supaya badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan kehakiman, begitu juga badan-badan serta institusi-institusi kerajaan yang berkaitan hendaklah menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti.

"Raja-Raja Melayu memandang berat isu-isu menyentuh kaum dan agama dan dengan ini mengingatkan para pemimpin parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan agar tidak mensensasikan isu perkauman dan isu agama dalam hasrat meraih sokongan rakyat terhadap parti atau pihak masing-masing," menurut kenyataan itu lagi.

Raja-raja Melayu juga mengingatkan supaya hubungan harmoni dan perpaduan antara kaum dan antara agama yang terjalin baik selama hari ini telah berperanan penting sebagai tunggak utama kepada kestabilan sebuah negara Malaysia yang merdeka, aman, maju dan makmur.

Oleh itu, hubungan harmoni dan perpaduan rakyat wajib dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh sama sekali dikorbankan kerana matlamat politik yang cetek.

"Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu ada tanggungjawab fardu kifayah untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara dapat berlangsung dalam suasana politik yang stabil dan rakyatnya hidup dalam harmoni," kata kenyataan itu.
Previous
Next Post »
loading...