loading...
loading...

Zahasmi tuntut pemain TRW bangkit


Zahasmi tuntut pemain TRW bangkit


PERTEMBUNGAN dua musuh tradisi, Kelantan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini seharusnya dilabelkan ‘misi hidup mati’ bagi kedua-dua pasukan dalam saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia musim ini.

Ketika Selangor bertandang dengan misi balas dendam selain mengintai peluang ke suku akhir, The Red Warriors juga turut menghitung nasib sama apabila berazam mahu menundukkan juara 32 kali itu, sekali gus mencerahkan peluang ke kelompok lapan pasukan terbaik.

Justeru, Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menuntut barisan pemainnya menampilkan kebangkitan luar biasa dan berjuang habis-habisan sambil mengetepikan segala permasalahan seandainya mahu tiga mata penting itu menjadi milik pasukannya.

“Kekalahan kepada T-Team tempoh hari memberi pengajaran kepada semua pemain. Malah ia menjadi isyarat kepada kami untuk tidak berasa selesa kerana perjalanan ke suku akhir masih jauh lagi.

“Kami perlu bangkit dengan menewaskan Selangor. Itu sahaja saya boleh beritahu anda, kami tidak boleh seri atau kalah lagi kerana pertemuan malam esok (ini) akan menentukan hala tuju kami dalam kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Zahasmi bagaimanapun mengakui Kelantan berhadapan tekanan untuk menghadapi skuad Mehmet Durakovic berikutan penyokong setia mereka mula mempersoalkan kemampuan pasukannya selepas mempamerkan aksi hambar ketika tewas kepada T-Team.

“Memang benar, ia (tewas kepada T-Team) jadi satu tekanan kerana tiba-tiba kami terdesak untuk memburu tiga mata. Untuk bangkit semula, pemain perlukan tanamkan iltizam dan saya percaya mereka mampu menangani tekanan itu untuk mengatasi Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut pertemuan tersebut, pengendali berusia 48 tahun itu memberitahu, dia akan berusaha untuk menampilkan barisan terkuat meskipun kem pasukannya terus dilanda masalah kecederaan pemain, ketika ini.

Menurutnya, selain terpaksa mengetepikan Mohd Fitri Omar dan Mohd Norfarhan Muhammad akibat kecederaan, dia perlu memikirkan perancangan lain selepas melihat Austin Amutu dan Jonathan McKain masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan.

“Saya kena tengok dahulu keadaan dua tonggak import itu dalam latihan terakhir hari ini. Mungkin Gilmar (Jose Da Silva Filho) sekali lagi akan menjadi taruhan untuk merobek gawang Selangor selepas dia meledak empat gol dalam tiga perlawanan lalu,” katanya.
Previous
Next Post »
loading...