loading...
loading...

Ranking Malaysia kini ke-171 dalam senarai FIFA


http://assets.bharian.com.my/images/articles/


Ranking bola sepak Malaysia terus menjunam apabila jatuh di kedudukan ke-171 dunia dalam senarai terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Kedudukan baharu itu sekali gus mencatatkan rekod terburuk dalam sejarah bola sepak negara dengan posisi terburuk skuad Harimau Malaysia sebelum ini adalah di ranking ke-170 yang dicatatkan pada 2008.

Ia penurunan dua anak tangga berbanding kedudukan sebelum ini iaitu 169 dengan kekalahan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 dilihat menjadi antara punca utama kejatuhan itu.

Ranking itu mampu menjadi lebih buruk andai keputusan menentang Arab Saudi tidak diputuskan penganjur berakhir dengan keputusan 0-0 sekalipun Malaysia ketika itu ketinggalan 2-1 sebelum ia terpaksa dihentikan.

Perlawanan itu terpaksa dihentikan pada minit ke-88 disebabkan kekacauan yang dilakukan peminat tempatan di Stadium Shah Alam.

Kedudukan 171 dunia begitupun dikongsi Malaysia bersama Indonesia dengan masing-masing mengumpul 111 mata.

Begitupun, Indonesia tidak lagi mampu mengutip mata dunia selepas digantung FIFA sejak Julai lalu.

Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia berada di keempat tercorot di belakang Brunei, Kemboja dan Laos.

Iran muncul negara terbaik Asia dalam ranking FIFA dengan menghuni tangga ke-39 dunia diikuti Korea Selatan (53), Jepun (55) dan Australia (58).

Filipina pula terbaik di kalangan negara Asia tenggara di ranking ke-134 dunia namun mengalami kejatuhan sembilan anak tangga diikuti Thailand (145) namun turut jatuh lapan anak tangga berbanding kedudukan sebelum ini.

Malaysia ketika ini dibimbing jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee selepas Dollah Salleh meletakkan jawatan sejurus kekalahan kepada UAE.

Lawan Malaysia selepas ini adalah Laos pada aksi persahabatan antarabangsa sebelum dijadual bertemu Timor-Leste pada perlawanan kelayakan Piala Dunia.
Previous
Next Post »
loading...