SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berharap agar setiap pihak menghentikan serta-merta dakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyalahgunaan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, fitnah yang dilemparkan sebelum ini adalah jelas bagi menjatuhkan imej dan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri di negara ini.

“Kemasukan wang ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri hanyalah sumbangan dari kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengesahkan bahawa sumbangan derma kepada Najib adalah daripada negara itu tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Tambah Irmohizam, hasil siasatan yang dikemukakan oleh peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebelum ini juga telah membuktikan bahawa tiada sebarang salah laku yang dilakukan oleh  SRC International Sdn Bhd.

“Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) turut mengesahkan bahawa Perdana Menteri tidak terlibat langsung dalam pengurusan kewangan syarikat 1MDB,” katanya.