loading...
loading...

10 Anak Seni Tempatan Yang Pergi Buat Selamanya Sepanjang Tahun 2015..!!!

Selain perkhabaran gembira dan isu kontroversi, dunia seni tanah air juga tidak terlepas dengan berita sedih iaitu pemergian insan seni yang kembali menemui Maha Pencipta.

Selain mengalu-alukan kedatangan bakat baru dalam dunia hiburan sepanjang tahun 2015, Astro Gempak juga tidak melupakan detik kehilangan anak seni berbakat yang telah meninggal dunia.
Biarpun telah tiada, jasa dan sumbangan mereka terhadap dunia hiburan tanah air tidak akan pernah pudar dan dilupakan.

Jadi jom kita selongkar 10 anak seni yang telah pergi buat selama-lamanya sepanjang tahun 2015:

Harun Salim Bachik (8 Mac 2015) 


Pelakon dan pelawak popular, Harun Salim Bachik meninggal di usia 55 tahun, dipercayai akibat sesak nafas.
Allahyarham rebah secara tiba-tiba ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Gunung Semanggol (Selatan), Perak.

Pernah menyandang jawatan sebagai presiden untuk Persatuan Seniman, Allahyarham sangat popular menerusi kumpulan Boboi, gandingannya bersama Afdlin Shauki.
Baca: Rebah Di R&R, Harun Salim Bachik Meninggal Dunia


Mama Juwie (3 April 2015)
Wartawan hiburan veteran, Mama Juwie atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Saleh meninggal dunia di usia 62 tahun.

Menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, pemergiannya adalah kerana komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser prostat.

Selain bergelar wartawan, Allahyarham turut aktif dalam bidang penulisan lirik untuk penyanyi terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.
Baca: Wartawan Hiburan Veteran, Mama Juwie Meninggal Dunia Kerana Kanser Prostat

Julie Dahlan (30 April 2015)
Penerbit filem, Julie Dahlan atau nama sebenarnya, Junaidah Dahlan, 62, meninggal dunia di Hospital Ampang, Selangor.

Allahyarhamah dilaporkan menghidap penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Allahyarhamah menerusi syarikat produksi perfileman miliknya, JD Productions Sdn Bhd, pernah menerbitkan filem-filem hebat, antaranya Driving School (1990), Harry Boy (1991) dan Cinta Metropolitan (1995).

Ramli Hassan (7 Mei 2015)
Pemegang watak King Chulalongkorn dalam filem antarabangsa Anna and The King, Ramli Hassan meninggal dunia akibat komplikasi kanser yang dialaminya.

Pernah memegang watak utama dalam filem The Red Kebaya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Sydney, Australia.

Filem Nota yang ditayangkan pada Ogos lalu merupakan filem terakhir lakonan Allahyarham.
Menerusi filem tersebit, Allahyarham bergandingan bersama Maya Karin dan Hans Isaac.

Samsudin Lamin (1 Julai 2015)
Penyanyi lagu-lagu Melayu Asli, Samsudin Lamin, 76, meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru.

Menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Kuang, Selangor, Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Antara lagu yang pernah didendangkan Allahyarham ialah Titisan Embun Pagi, Pantun Seloka dan Dondang Sayang Hari Raya secara berduet bersama Jamilah Abu Bakar.

Karim Latiff (18 Ogos 2015)
Pelakon veteran dan bekas pengalih suara di stesen RTM, Karim Latiff meninggal dunia di usia 78 tahun.

Menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur, Allahyarham meninggal dunia kerana mengidap kanser paru-paru tahap empat.

Selain membintangi filem Sumpah Pontianak, Mahsuri, Anak Bapak, Masam-Masam Manis dan Keluarga 69, Allahyarham cukup terkenal dengan watak Safar menerusi filem Ahmad Albab.
Baca: Pelakon Filem Ahmad Albab, Karim Latiff Meninggal Dunia

Yus Jambu (30 November 2015)
Pelawak Yus Jambu atau nama sebenarnya Yussry  Edoo telah kembali ke rahmatullah di Hospital Selayang akibat serangan jantung.

Menghembuskan nafas terakhir di usia 39 tahun, Allahyarham dilaporkan mengalami sesak nafas di dalam kereta ketika perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjayakan program Raja Band di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Pernah menyandang gelaran juara program realiti Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007, Allahyarham popular menerusi kumpulan Jambu yang menggandingkan dirinya bersama Tauke.
Baca: Pelawak Yus Jambu Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Mariani (1 Disember 2015)
Seniwati Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediaman anak perempuannya, aktres Melissa Saila di Taman Kosmo Jaya, Sentul.

Allahyarhamah dipercayai mengalami penyakit kanser usus dan pada usia 82 tahun, Allahyarhamah dilihat seringkali menerima rawatan di pusat perubatan kerana faktor kesihatan.

Merupakan pelakon yang terkenal di zaman kehebatan filem-filem Melayu Klasik era Studio Jalan Ampas, Singapura, Allahyarhamah popular menerusi filem Labu Labi, Nasib Labu Labi dan Tiga Abdul.
Baca: Belasungkawa Seniwati Mariani: Perginya Sebutir Permata

Momo Latif (10 Disember 2015)
Pelakon veteran, Momo Latif atau nama sebenarnya, Marfuah Makarim meninggal dunia di kediaman anaknya yang terletak di Woodlands, Ring Road, Singapura.

Menghembuskan nafas yang terakhir di usia 92 tahun, Allahyarhamah pergi menemui Maha Pencipta selepas berada dalam keadaan koma akibat penyakit darah tinggi.

Cukup dikenali menerusi watak Ibu Rose dalam filem Pendekar Bujang Lapok, Allahyarhamah juga pernah membintangi filem seperti Musang Berjanggut, Si Tanggang, Mat Toyol, Mat Sarung Guni, Mat Tenggek dan banyak lagi.
Baca: Seniwati Momo Latif Meninggal Dunia

Aziz Desa (27 Disember 2015)
Bekas pengacara televisyen terkenal, Aziz Desa menghembuskan nafas terakhir di kediamannya yang terletak di Pulau Langkawi, Kedah.

Meninggal dunia di usia 50 tahun, Allahyarham dilaporkan menghidapi penyakit buah pinggang kronik dan kencing manis.

Di sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar Berita Harian dan pernah menjadi pengacara rancangan bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 dan Nasi Lemak Kopi O di TV9.
Baca: Aziz Desa Meninggal Dunia
Previous
Next Post »
loading...