KUALA LUMPUR - Sekolah-sekolah yang ditutup akibat keadaan jerebu tidak perlu menggantikan sesi persekolahan mereka, kata Menteri Pendidikan, Datuk seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, keputusan itu diambil supaya tidak membebankan pihak pengurusan sekolah menggantikan sesi penutupan tersebut.

“Bagaimanapun, semua guru yang terlibat agar mempercepatkan serta menggunakan budi bicara masing-masing bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat diselesaikan dalam tempoh sesi persekolahan 2015,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan peperiksaan awam akan tetap diteruskan mengikut jadual sekiranya keadaan jerebu masih berpanjangan.

Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan bermula 12 hingga 15 Oktober ini, Sijil Pelajaran Malaysia (2 November hingga 8 Disember), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia dari 19 hingga 27 Oktober. 

"Peperiksaan adalah aktiviti yang berlaku di dalam bangunan dan tidak dianggap sebagai aktiviti luar. Justeru, peperiksaan akan diteruskan walaupun sekolah ditutup setelah bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) mencapai lebih daripada 200," katanya.

Mahdzir berkata penangguhan peperiksaan awam adalah pilihan terakhir sekiranya bacaan IPU mencapai 500 iaitu tahap berbahaya kepada kesihatan dan darurat diisytiharkan oleh kerajaan.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan telah menutup sejumlah 4,561 buah sekolah dari sembilan negeri melibatkan 2,617,432 murid kerana bacaan IPU mencecah bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat sejak 15 hingga 30 September lepas.

Beliau berkata sembilan negeri yang terlibat itu ialah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor, Sarawak dan Perak.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan jerebu dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana perkara yang boleh memudaratkan kesihatan murid-murid.