KELANTAN 
enggan mengibarkan bendera putih dalam kempen Piala Malaysia musim ini biarpun tewas dua perlawanan berturut-turut, kali ini kecundang 0-1 kepada Selangor dalam aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Ketua Jurulatih The Red Warriors, Zahasmi Ismail berkata, tidak ada sebab untuk pasukan kendaliannya mengaku kalah lebih awal sedangkan saingan peringkat kumpulan masih lagi berbaki dua perlawanan.

“Masih ada peluang......kita ada dua perlawanan lagi selepas ini bertemu Felda United dan T-Team. Memang kita kalah malam ini tetapi dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berjuang mati-matian pada baki perlawanan itu.

“Saya tetap menaruh keyakinan pemain mampu menunjukkan sesuatu yang luar biasa. Siapa tahu mungkin kami boleh bermain lebih bagus di Selayang (menentang Felda United) dan meraih tiga mata di sana,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Mengenai perlawanan itu, Zahasmi mempertahankan persembahan  pemainnya yang bangkit memberikan tentangan pada babak kedua meskipun gagal memanfaatkan deretan peluang.

Malah pengendali berusia 48 tahun itu memberitahu, dia tidak mahu menyalahkan Mohd Noor Hazrul angkara kesilapan tersebut memandangkan bekas pemain Perak itu tidak sengaja tertolak bola ke gawang sendiri.

“Inilah bola sepak, sangat kejam walaupun kami bermain dengan baik namun tidak dapat meraih kemenangan. Kami terpaksa akur kekalahan ini walaupun ia begitu pahit untuk diterima semua pihak,” katanya.