loading...
loading...

Jambatan sementara ditutup



http://assets.hmetro.com.my/images/articles/


Kota Bharu: Jambatan sementara Kampung Pulau Setelu di Gua Musang yang dibina Mei lalu, ditutup sementara waktu malam ini berikutan paras air Sungai Nenggiri, semakin meningkat sejak petang tadi.

Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdullah mengesahkan perkara itu dan menasihati orang ramai supaya menggunakan laluan alternatif lain buat sementara waktu.


"Jambatan itu tidak boleh dilalui buat sementara waktu kerana anggota kita di lokasi memaklumkan ia berisiko runtuh kerana rempuhan kayu balak," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada bencana banjir besar, Disember tahun lalu, jambatan di situ musnah mengakibatkan lebih 600 penduduk sekitar dan ribuan pengguna jalan raya Gua Musang-Jeli, terjejas.

Pengguna terpaksa menggunakan laluan alternatif Kuala Krai-Dabong untuk ke dua bandar berkenaan, sebelum jambatan sementara siap dibina, Mei lalu dengan kos RM600,000.

Ketika ini proses pembinaan jambatan kekal masih berlangsung yang dijangka menelan belanja RM40 juta.

Sementara itu, pengasas badan bukan kerajaan ( NGO) Third Force Raja Shamri Raja Husin ketika dihubungi berkata, dia mendapat berita berhubung kejadian itu kira kira jam 9.30 malam tadi menerusi aplikasi Whatsapps oleh penduduk setempat dikenali sebagai Abe Zin.

Katanya, Abe Zin mewakili penduduk kampung memohon bantuan beberapa bot getah untuk mereka menyeberang sungai berkenaan.

"Di Bertam dan Pulau Setelu mereka mohon bot getah sebab arus terlalu kuat dan kalau guna bot biasa mudah pecah.

" Insya-Allah, kami akan usahakan secepat mungkin supaya masalah mereka dapat diselesaikan," katanya.
Previous
Next Post »
loading...