loading...
loading...

Rebut peluang teroka industri herba


Rebut peluang teroka industri herba


HERBA dikenal pasti sebagai industri berpotensi sebagai sumber pertumbuhan ekonomi yang bernilai tinggi di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia berikutan permintaan dan penggunaan produk herba di seluruh dunia semakin meningkat, selari dengan kesedaran awam mengenai perubatan alternatif dan penggunaannya untuk kesihatan.

Menurutnya, perdagangan global bagi produk semula jadi mencatatkan hasil sebanyak RM777 bilion pada 2006 dan ia diunjurkan akan meningkat sebanyak tiga kali ganda menjelang 2020.

“Dasar Agro Makanan Negara (DAN) menyasarkan jumlah eksport herba yang meliputi produk terproses akan meningkat daripada RM152 juta pada 2010 kepada RM1.3 bilion pada 2020.

“Pertumbuhan ini berdasarkan kepada peningkatan penerimaan produk herba sebagai perubatan, makanan fungsian, makanan kesihatan tambahan, produk penjagaan diri semula jadi dan makanan organik,” katanya pada selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Herbal Asia 2015 di Kuala Lumpur, semalam.

Tajuddin berkata, kebanyakan produk herba tempatan sedia ada masih bernilai rendah dan memerlukan usaha berterusan dengan meningkatkan nilai produk menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada pihak terlibat.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan Skim Geran Penyelidikan Bidang Ekonomi Utama Negara Herba (NGRS) dengan peruntukan berjumlah RM50 juta pada tahun ini.

“Skim itu merangkumi empat kluster penyelidikan iaitu penemuan, agronomi dan pengeluaran tanaman, pemiawaian dan pembangunan produk serta teknologi pemprosesan sebagai insentif kepada penyelidik melaksanakan R&D.

“Sejak NGRS diperkenalkan pada 2010, sebanyak 122 projek R&D diluluskan dan dilaksanakan oleh pelbagai institusi penyelidikan dan pengajian tinggi dalam negara,” katanya.


Lahir lebih ramai usahawan herba


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gitex Global Exhibition Services, Safinah Yaakob berkata, setiap tahun, industri herba berkembang antara lima hingga 10 peratus dan ia banyak disumbangkan oleh produk siap atau terproses.

“Kira-kira 80 peratus daripada produk herba di negara ini adalah terdiri daripada produk siap. Jadi permintaan terhadap kontrak pengilangan (OEM) untuk produk herba agak tinggi.

“Malangnya, kita tidak mempunyai ramai pengusaha herba iaitu bahan mentah yang menjadi  ramuan utama dalam produk siap herba,” katanya.

Justeru, Safinah berkata, Malaysia perlu mewujudkan lebih ramai usahawan herba bagi memastikan bahan mentah itu mencukupi jika ingin mengkomersialkan industri herba secara holistik.

“Selain itu, kalau semua produk siap saja, kita tidak dapat kawal bahan mentah kerana tidak tahu campuran bahan yang digunakan dalam menghasilkan produk tersebut. Mungkin hanya 30 peratus saja herba, manakala selebihnya bahan lain.

“Jadi kita perlukan bahan mentah yang datang daripada usahawan tempatan untuk melindungi herba kita,” katanya.

Menurutnya, Pameran Herbal Asia 2015 itu membantu pemain dalam industri herba, hijau dan semula jadi untuk mencari pembeli berpotensi, selain rakan niaga baharu.


Herbal Asia bantu peniaga

Pengurus Jualan Honey Empire Sdn Bhd, Azman Ahmad berkata, Pameran Herbal Asia 2015 membantu syarikatnya untuk mengukuhkan jenama produk madunya, Honey Empire di seluruh dunia.

“Ini kali pertama kami menyertai pameran ini. Kami tertarik menyertainya kerana mahu lebih ramai orang mendapatkan madu yang baik dan berkualiti pada harga berpatutan.

“Tambahan pula, produk kami masih di peringkat pengenalan memandangkan baru setahun berada di pasaran. Kami ingin orang ramai kenal dengan produk dan jenama kami,” katanya.

Bagi Eksekutif Jualan dan Pemasaran Jiewa Enterprise, Azian Hamzah berkata, syarikat itu kerap menyertai Herbal Asia dan berjaya menambah jumlah ejen dan pengedar yang menjual produk terproses berasaskan perianya, saban tahun.

“Sebagai pengeluar, kami sentiasa mencari ejen, bahan mentah dan mempromosikan produk di Malaysia dan luar negara.

“Pameran Herbal Asia ini menjadi platform untuk kami meluaskan pasaran kerana kami boleh jumpa ejen baharu yang berminat untuk membawa produk kami ke negara lain seperti Indonesia, Singapura dan Iran,” katanya.

Pengurus Astana Anggun Resources, Samsuddin Mohammad berkata, pameran itu memberi peluang kepadanya untuk mencari rakan niaga dan bertukar-tukar idea serta produk.

“Kami mengeluarkan dan menjual produk rawatan rambut jenama Tropica Bioherb. Kita mahu memperkenalkan produk kami pada orang ramai,” katanya.

Pemeran Herbal Asia 2015 berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Pusat Pameran & Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur yang menghimpunkan lebih 200 pempamer tempatan dan antarabangsa seperti India, Korea, Bangladesh, Taiwan dan Fiji.
Previous
Next Post »
loading...