loading...
loading...

"Kalau Nak Rompak, Dah Lama Saya Rompak...", Ujar Perdana Menteri



KUANTAN, 19 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Menurut Najib, dia bukan seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya.

"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.

"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.

"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya di majlis Himpunan Solidariti yang berlangsung hari ini.

Selain itu, Najib juga percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan bekerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri.

"Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan.

"Mereka tetap kata 'America is great' (Amerika hebat). Tapi puak-puak kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya, kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita," katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana itu lebih kepada politik persepsi.

Di majlis tersebut, Najib turut melahirkan rasa gembira dengan agenda perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di landasan yang ditetapkan.

"Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya sebagaiman lapor Bernama.

Beliau berkata, rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit merupakan pembelian aset yang menguntungkan rakyat.
Previous
Next Post »
loading...