loading...
loading...

Cadang Buka Kelab Malam Sehingga Pukul 5 Pagi Untuk tarik Pelancong Ke Kuala Lumpur - Tengku Adnan




HO CHI MINH CITY, Vietnam:  Kementerian Pelancongan sedang mengkaji untuk mengurangkan harga minuman keras dan melanjutkan masa operasi pusat hiburan di bandar-bandar besar termasuk sekitar Lembah Klang, selewat-lewatnya sehingga pukul 5 pagi.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata dua perkara berkenaan dicadangkan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat, sekiranya mendapat persetujuan pihak-pihak yang terlibat.

"Sekiranya diluluskan, saya percaya ia mampu menambah kedatangan pelancong asing ke Malaysia. Kementerian sendiri mengambil langkah ini setelah mendapat aduan daripada pelancong, mereka kata harga minuman keras seperti bir dan wain terlalu mahal dan tidak munasabah di negara kita," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tengku Adnan mengetuai delegasi kementeriannya dalam rangka lawatan empat hari ke Vietnam bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia

Selain itu, katanya pelancong terutama dari Vietnam menganggap Malaysia membosankan pada waktu malam, malah bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak ada 'night life' (kehidupan malam).

"Mereka datang ke Malaysia untuk berehat, membeli belah, berhibur di pusat kelab-kelab malam, pub dan karaoke dan sebagainya, namun tempat-tempat berkenaan ada yang belum pukul 12, sudahpun ditutup," tambahnya.

Jika dilihat secara kasar, katanya kedua-dua usul itu tentu sekali akan mendapat bantahan banyak pihak namun beliau berkata ia dilakukan untuk menarik pelancong asing berkunjung ke Malaysia.

"Cuba lihat isu ini secara praktikal. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana berpendapat ia boleh menimbulkan masalah dan sebagainya. Ia untuk pelancong, ia cara hidup mereka, kita tak boleh menghalang pelancong menikmati keseronokan di negara kita kerana itu sebahagian budaya mereka," katanya.

Sehubungan itu, Tengku Adnan berkata pihaknya juga bercadang mengadakan tempat khusus 'tourist belt' yang menyediakan pusat hiburan yang beroperasi sehingga awal pagi, sekurang-kurangnya pukul 5 pagi, sebagai lokasi yang boleh dikunjungi pelancong.

"Mungkin kawasan segi tiga emas Bintang Walk, Jalan Imbi dan Jalan P. Ramlee di Kuala Lumpur boleh dijadikan tourist belt. Kertas kerja mengenainya telah diserahkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan.

"Sekarang ini kita masih menunggu maklum balas daripada mereka, mungkin ambil masa sedikit kerana mereka perlu menggubal semula undang-undang terlibat," katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Pelancongan Bandar Raya Ho Chi Minh City, Nguyen Thi Lap Quoc bagi membincangkan isu melibatkan pelancongan antara Malaysia dan bandar raya berkenaan.

Perbincangan untuk tujuan sama selama kira-kira dua jam turut diadakan antara beliau dan Persatuan Pelancongan Ho Chi Minh City.

Tengku Adnan juga melancarkan Kempen Tahun Melawat Malaysia di sini, yang turut dihadiri lebih 200 ejen pelancongan Vietnam dan media tempatan. BERNAMA



Previous
Next Post »
loading...