PASIR MAS, 2 Februari:

Veteran Umno, Tan Sri Hussein Ahmad berkata beliau memang sudah menjangkakan perkara yang sedang berlaku di Kedah sekarang ini dan mereka yang terbabit perlu bertanggungjawab.
Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia berkata, mereka yang terbabit adalah pemimpin Umno sendiri.
“Sudah jangka perkara ini akan berlaku di Kedah. Kita perlu ingat di Kedah, Umno pernah kalah, Pulau Pinang sudah jatuh ke tangan DAP, Terengganu pernah jatuh ke tangan Pas, malah Kelantan sehingga kini masih gagal ditawan semula oleh Umno.
“Saya percaya ini adalah `dosa’ pemimpin Umno terdahulu sehingga menyebabkan Umno hilang kuasa. Punca semuanya daripada pemimpin dan keadaan ini bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi juga di seluruh dunia,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Penerangan Umno yang baru, Tan Sri Annuar Musa, di rumahnya di Kampung Lemal, hari ini.
Hussein yang terkenal dengan gelaran `Hussein Serama’ satu ketika dahulu juga menganggap perlantikan Annuar sebagai Ketua Penerangan Umno Malaysia sebagai sesuatu yang tepat.
Katanya, daripada dahulu lagi dia sudah menyarankan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan diharapkan Annuar dapat menjalankan amanah yang diberikan itu dengan cemerlang.
“Satu sahaja yang saya ingin beritahu. Umno adalah kurniaan tuhan kepada bangsa Melayu supaya kita bersatu. Selepas ini saya ingin melihat semua bangsa Melayu bersatu,” katanya.
Sementara itu, Annuar ketika ditemui media berkata, isu Menteri Besar di Kedah perlu ditangani secara berhemah ibarat seperti `menarik rambut dalam tepung’ iaitu rambut tidak putus dan tepung tidak bersepah.
Beliau berkata, kaedah Perdana Menteri memang tepat apabila mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum berjumpa dengan Adun-Adun, Jemaah Pemangku Sultan Kedah serta Yang Dipertuan Agong sebelum mengambil apa-apa keputusan.
“Saya yakin isu itu akan diselesaikan dengan cara terbaik oleh PM dan orang di Kedah sendiri,” katanya.
Mengulas mengenai jawatan barunya, Annuar menjelaskan beliau sebenarnya belum lagi memulakan tugas secara rasmi.
Katanya, selepas ini beliau akan mengadakan pertemuan dengan bekas Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan dan berjumpa dengan Menteri Penerangan, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebelum masuk ke pejabat di Bangunan Umno Pusat untuk berjumpa kakitangan di situ.