loading...
loading...

Sah! Mukhriz diganti

mukhriz 3
Kemelut politik Kedah bakal berakhir hari ini apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini sah akan digantikan dengan pemimpin lain.
KUALA LUMPUR, 3 Februari:
Kemelut politik Kedah bakal berakhir hari ini apabila Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini sah akan digantikan dengan pemimpin lain.
Menurut laporan Berita Harian, Mukhriz dikatakan sudah dimaklumkan oleh pihak istana.
Hari ini, Mukhriz dijangka mengadakan sidang media di Wisma Darul Aman, 10 pagi berhubung keputusan itu.
Pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, ketika dihubungi pula meminta pihak media bersedia untuk satu sidang media hari ini, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat, kebanyakan wakil rakyat khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberikan gambaran mengenai perubahan tampuk pentadbiran negeri itu yang bakal menyaksikan Mukhriz diganti.
Menurut mereka, kemelut politik negeri semakin hampir ke penghujung dan harapan melihat pembaharuan pentadbiran seperti disuarakan dalam sidang media di Hotel Grand Alora, di sini pada 20 Januari lalu makin pasti dicapai.
Seorang ADUN memaklumkan kepada Berita Harian bahawa Jemaah Pemangku Sultan Kedah membuat keputusan selepas semua 21 ADUN Barisan Nasional (BN) dan 15 pembangkang dipanggil menghadap semalam dan kelmarin.
Katanya, secara prinsip Mukhriz akur dengan kehendak parti dan bersedia melepaskan jawatan manakala Jemaah Pemangku Sultan Kedah selepas menemui semua ADUN membuat kesimpulan bahawa Mukhriz hilang sokongan majoriti.
“Berdasarkan maklumat diterima, Jemaah Pemangku Sultan Kedah dimaklumkan berpuas hati dengan kenyataan semua ADUN yang dipanggil menghadap dan kita hanya menunggu keputusan penting yang akan diumumkan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah, dalam tempoh terdekat,” kata ADUN tersebut.

Previous
Next Post »
loading...