loading...
loading...

Jeffri tambat hati juri The Voice UK

JEFFRI Ramli curi tumpuan pada sesi uji bakat The Voice UK 2016. - Foto Zaharah Othman 

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, Jeffri Ramli, 35, mencuri tumpuan pada sesi uji bakat program realiti, The Voice UK di London, baru-baru ini. 

Jeffri yang juga penyanyi sepenuh masa, menambat hati empat juri program terbabit iaitu Will.I.Am, Paloma Faith, Boy George dan Ricky Wilson. 

Berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan menetap lebih sedekad di New Castle, England, Jeffri menambat hati juri melalui lagu Valerie dengan gaya tersendiri. 

Selesai menyanyi, Will.I.Am tiba-tiba meminta Jeffri melakukan demonstrasi tarian tradisional Melayu selepas mendapat tahu dia berasal dari Malaysia.

Pada mulanya, Jeffri menyangka penyanyi yang pernah menganggotai kumpulan Black Eyed Peas itu mahu melihat tarian zapin. 

Namun, selepas Will.I.Am menunjukkan sedikit langkah tarian dimahukan, Jeffri dapat meneka gerak poco-poco, yang berasal dari Indonesia. 

Teruja dengan demonstrasi tarian itu, semua juri akhirnya naik ke pentas untuk menari bersama Jeffri diiring rentak tarian poco-poco. 

Hasilnya, video Jeffri menari poco-poco menjadi perhatian ramai dan mula diperkatakan netizen. 

Ketika ditemuramah dalam program itu, Jeffri memberitahu dia meminati irama K-Pop. 

"K-Pop bukan sekadar nyanyian tetapi tarian. Fesyen juga penting dalam dunia seni, namun muzik membabitkan seluruh pakej. 

"Saya fikir The Voice UK perlu mendengar suara dan melihat bakat saya," katanya. 

Jeffri pernah muncul dalam program ITV's X Factor 2014 (Siri ke-11 di UK) serta memenangi hadiah utama, Penyanyi Terbaik pada KBS K-Pop World Festival 2014 (UK Final). 

Beliau juga menjayakan acara Malaysian Night selama dua tahun sejak 2014 di Trafalgar Square, London. 

Jeffri aktif menyertai beberapa pertandingan nyanyian yang diadakan di The Sage Gateshead, The Journal Tyne Theatre dan Newcastle City Hall. 

Jeffri juga pernah membuat persembahan untuk Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London.
 

Previous
Next Post »
loading...