loading...
loading...

Tiga Pelajar Malaysia Maut Nahas Jalan Raya Di Jordan



PETALING JAYA: Tiga pelajar warga Malaysia maut dalam nahas jalan raya di Jordan pada Sabtu.

Education Malaysia Jordan dalam satu kenyataan di Facebook berkata, kemalangan berlaku semasa lima pelajar Universiti Mu'tah dalam perjalanan ke Mafraq untuk program Jaulah pada pagi Sabtu.


Tambah kenyataan itu, dua lagi mangsa terselamat dan sedang dirawat di Hospital Mafraq.

"Dukacita dimaklumkan bahawa telah berlaku kemalangan jalan raya pagi tadi melibatkan sebuah kereta dinaiki oleh pelajar Malaysia dengan warga jordan dalam perjalanan ke Mafraq untuk program Jaulah.

"Kemalangan melibatkan lima pelajar dari Universiti Mu'tah. Tiga meninggal dunia manakala dua pelajar terselamat. Mangsa yang terselamat masih lagi dirawat di Hospital Mafraq," menurut kenyataan itu pada Sabtu sambil menambah turut terlibat dalam kemalangan ialah warga Jordan.

"Marilah sama-sama kita doakan semoga ketiga-tiga roh pelajar berkenaan ditempatkan dalam orang-orang yang beriman. Al-Fatihah," tambah kenyataan Education Malaysia Jordan.

Menurut Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan Sesi 2015/2016 dalam satu kenyataan di Facebook, tiga pelajar yang maut ialah Hana' Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie, masing-masing dari Kelantan dan Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz dari Kuala Lumpur.

Kenyataan itu menambah, dua mangsa yang cedera adalah Fatin Norsyahirah dari Kelantan dan Izzam Hasif dari Negeri Sembilan.

Previous
Next Post »
loading...