loading...
loading...

Dr. Vida Nak Pikat 
Teerasil Dangda

Kehebatan Teerasil Dangda di hadapan gawang memikat Dr. Vida yang berhasrat mendapatkan pemain itu untuk beraksi bersama Kelantan musim ini.
Kehebatan Teerasil Dangda di hadapan gawang memikat Dr. Vida yang berhasrat mendapatkan pemain itu untuk beraksi bersama Kelantan musim ini.

KOTA BHARU – Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman berhasrat untuk membawa masuk penyerang hebat Thailand, Teerasil Dangda bagi memperkuatkan The Red Warriors tahun ini.

Lebih popular dengan panggilan Dr. Vida, katanya, beliau cukup meminati corak permainan yang ditampilkan Dangda terutama setiap kali berada di dalam kawasan penalti.

Menurutnya, kehadiran pemain itu dijangka mampu menambah se­ngat di bahagian serangan pasukan The Red Warriors seterusnya menghadirkan gerun kepada pihak lawan.

“Bagaimanapun saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan jurulatih sebelum membuat keputusan sama ada pemain ini boleh dibawa masuk atau sebaliknya.

“Jika mahu melihat Kelantan meraih kejuaraan, kita perlu mendapatkan pemain import yang berkualiti dan mampu membantu pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Dr. Vida menyasarkan Kelantan merangkul tiga kejuaraan pada musim 2016 selepas bersetuju syarikatnya menaja pasukan itu selama dua tahun yang boleh mencapai sehingga lebih RM20 juta.

Tambahnya, beliau mahu pelaburan yang dilakukannya ke atas Kelantan mampu melonjakkan nama pasukan ke peringkat lebih tinggi.

Dangda kini sedang beraksi sebagai pemain pinjaman untuk pasukan Almeria dalam Liga Sepanyol dan dijangka kembali ke kelab Muangthong United pada 20 Januari ini.

Sepanjang beraksi dengan Muangthong United bermula 2009 hingga 2014 Dangda meledakkan 86 gol daripada 186 penampilan bersama pasukan itu.

Dr. Vida memberitahu, beliau turut meneliti beberapa pemain untuk dicadangkan kepada Kafa dalam usaha memperkuatkan lagi pasukan, termasuk dari negara Timur Tengah.

Previous
Next Post »
loading...