Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya Sarawak masih berkeras, pasukan itu mungkin akan digantung daripada menyertai Liga Malaysia pada tahun depan dan nasib yang sama juga akan dihadapi Syahrul Azwari berpandukan Artikel 22, status perpindahan pemain bola sepak Malaysia.

“Nasihat saya kepada FAS, batalkan kontrak tersebut jika sudah ditandatangani. Jika gagal berbuat demikian Jawatankuasa Status Pemain FAM boleh mengambil tindakan ke atas mereka, begitu juga dengan Syahrul Azwari.
“Jadi saya berharap mereka dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh badan induk bola sepak negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa meluahkan kekecewaannya apabila Syahrul Azwari mengikat kontrak dengan Sarawak sedangkan pemain itu seharusnya bersama The Red Warriors untuk saingan musim 2016.

Annuar, yang meluahkan kekecewaannya menerusi Facebook, turut mempersoalkan kredibiliti FAM kerana membiarkan perkara itu berlaku.

Takiyuddin memberitahu, mengikut peraturan seseorang pemain Harimau Muda yang dibebaskan perlu kembali semula ke negeri dia memulakan kerier sebagai pemain bola sepak.

“Dalam kes Syahrul Azwari, saya mengesahkan dia kena balik negeri Kelantan dan itu peraturan yang jelas. Kita lihat pemain ini memulakan karier ketika sedang menuntut di tingkatan satu.

“Apabila dia kembali ke negeri (asal), jika KAFA mengikat kontrak dengan pemain tersebut mereka perlu membayar gaji pemain itu dengan kenaikan paling minimum iaitu sebanyak 30 peratus daripada gajinya ketika bersama Harimau Muda. Contohnya kalau dia bergaji RM5,000, KAFA kena naikkan gajinya kepada RM6,500,” ujarnya.

Tambahnya, tanggungjawab pemain ialah mereka mesti kembali ke negeri asal manakala persatuan negeri perlu membayar gaji.

Takiyuddin berkata, sekiranya persatuan negeri boleh memenuhi syarat itu, bererti pemain berkenaan kena bermain sekurang-kuranya satu tahun bersama negeri asalnya.

Katanya, jika Kelantan enggan membayar gaji pemain itu mengikut garis panduan FAM, negeri yang mahu mendapatkan Syahrul Azwari perlu mendapat persetujuan daripada KAFA terlebih dahulu.

“Nasihat saya, KAFA perlu membuat laporan rasmi terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Status Pemain untuk membolehkan FAM mengambil tindakan dan seterusnya menyelesaikan perebutan pemain.

“Untuk menjaga keharmonian, saya nasihatkan FAS ikut dan saling menghormati antara satu sama lain,” tegasnya.
Sementara itu, Syahrul Azwari ketika dihubungi mengambil pendekatan mengunci mulut dan enggan mengulas mengenai isu tersebut.

Katanya, ketika ini dia hanya mahu fokus kepada kariernya sebagai pemain bola sepak.