loading...
loading...

CUKAI TIKET PENERBANGAN AKAN DINAIKKAN JUGA - MENTERI

Cukai lapangan terbang dijangka naik juga

Cukai lapangan terbang yang dikenali sebagai caj perkhidmatan penumpang mungkin akan dinaikkan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ini kerana, kata Liow, berdasarkan perjanjian antara kerajaan dan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) ada ketetapan bagi cukai lapangan terbang dikaji setiap tiga tahun.


"(Peningkatan harga) akan berkuat kuasa, kerana ia sudah dalam perjanjian.


"Kita tidak perlu membuat pengumuman melainkan jika kerajaan mahu menghentikan atau mengkaji semula perjanjian itu, tetapi selagi ia ada dalam perjanjian itu, kita tidak boleh mengubah keputusan ini," kata beliau yang dipetik oleh laporan Astro Awani.


Disember lalu, Pengarah MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, cukai lapangan terbang akan mencapai kitaran lima tahun bulan hadapan.


Beliau bagaimanapun berkata sebarang keputusan mengenai kajian semula cukai lapangan terbang bergantung kepada kerajaan.


Cukai lapangan terbang untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah RM65 bagi penumpang antarabangsa dan RM9 bagi penumpang domestik.


Manakala bagi terminal penerbangan tambang murah KLIA2, kadar yang ditetapkan adalah pada RM32 bagi penumpang antarabangsa dan RM6 bagi penumpang domestik.
Previous
Next Post »
loading...