loading...
loading...

TRW pilih laluan berliku


TRW pilih laluan berliku

KELANTAN memilih laluan berliku untuk mara ke suku akhir kempen Piala Malaysia musim ini apabila tewas mengejut 0-1 kepada musuh tradisi, Selangor dalam aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Kekalahan tipis itu meletakkan skuad kendalian Zahasmi Ismail dalam keadaan sangat sukar dan perlu mengutip mata maksimum dalam baki dua perlawanan terakhir jika mahu melepasi saingan peringkat kumpulan.

Bagi Selangor, kemenangan malam tadi membolehkan pasukan itu menerajui carta kumpulan untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam sebelum T-Team dan Felda United FC berentap di Kuala Terengganu, malam ini.

Malah skuad kendalian Mehmet Durakovic ada sebab untuk bergembira di sebalik kejayaan menewaskan Kelantan, terutamanya mereka berjaya menamatkan badi tidak pernah menang di Kota Bharu sejak 13 tahun lalu.

Kelantan yang melakukan sepak mula permainan menguji benteng pelawat seawal minit kelapan menerusi percubaan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria hasil sepakan penjuru kapten, Mohd Badhri Radzi namun sedikit tersasar di sebelah kiri.

Kelantan sekali lagi mencemaskan Selangor pada minit ke-17 apabila Mohd Noor Hazrul Mustafa melakukan hantaran menarik tetapi bola yang singgah di kaki Ahmad Fakri Saarani ditampan lemah terus ke dakapan penjaga gol pasukan pelawat, Norazlan Razali.

Bagaimanapun, hampir 3,000 penyokong Kelantan terdiam seketika seminit kemudian apabila Red Giants meraikan jaringan tunggal sekali gus menghasilkan kemenangan mereka menerusi gol sendiri bek kiri tuan rumah, Mohd Noor Hazrul Mustafa.

Bekas pemain Perak itu tersilap langkah apabila tertampan masuk bola ke gawang sendiri dalam usahanya menyekat hantaran silang Muhammad Nazmi Faiz Mansor hasil serangan balas dilakukan pelawat.

Ternyata jaringan tersebut memberi keyakinan kepada Selangor dan mereka terus menampilkan aksi garang dengan Andik Vermansyah, Mohd Raimi Md Nor dan Muhammad Nazmi Faiz sering bertukar-tukar hantaran sekali gus mencetuskan huru-hara di benteng pertahanan tuan rumah.

Hasilnya, pelawat memperoleh tiga peluang terbaik untuk menambahkan jaringan namun Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Raimi dan Muhammad Nazmi Faiz mensia-siakannya apabila menyepak liar ke gawang tuan rumah pada minit ke-24, 27 dan 28.

Kelantan yang mempertaruhkan Gilmar Jose Da Silva Filho dan Ahmad Fakri kembali melancarkan serangan namun gandingan dua penyerang itu begitu sukar menembusi untuk pertahanan Selangor yang dikawal kemas Robert Cornthwaite.

Peluang kedua tuan rumah hadir pada minit ke-36 namun percubaan jarak jauh Mohd Noor Hazrul terus ke dakapan Norazlan disusuli sepakan bebasnya lima minit kemudian sekali lagi dinafikan penjaga gol Selangor itu.

Anak buah Zahasmi terus berusaha keras memburu gol penyamaan namun Norazlan lebih pantas melayangkan badan untuk menepis keluar sepakan percuma menarik Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit-minit akhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali mempamerkan corak permainan agresif tetapi Wan Zack Haikal mensia-siakan hantaran Jose Da Silva Filho merembat tinggi melepasi gawang pada minit ke-48.

Tuan rumah terus kempunan untuk mendapatkan gol penyamaan apabila tandukan Jose Da Silva Filho pada minit ke-57 berpunca hantaran lambung Mohd Badhri hanya sedikit melewati palang pelawat.

Penyerang Brazil itu hampir mencipta jaringan buat pasukannya pada minit ke-64 namun Norazlan lebih pantas meluru keluar untuk menyelamatkan keadaan disusuli sepakan bebas cantik Mohd Badhri tiga minit berselang berjaya dikuis penjaga gawang Selangor itu.

Tuah terus tidak menyebelahi Kelantan untuk kembali mengikat kedudukan semasa apabila tendangan percuma dilakukan Wan Zack Haikal pada minit ke-73 sekadar mengenai palang untuk pelawat kekal bertahan dengan kelebihan satu gol.

Kubu akhir Selangor cemas lagi ketika permainan memasuki minit ke-88 namun percubaan pemain gantian, Erwin Carrillo hasil situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti berjaya ditampan pertahanan lawan.

Tambahan masa lima minit jelas tidak memberi apa-apa makna apabila peluang terakhir yang diperoleh Kelantan menerusi Ahmad Fakri gagal menyelamatkan maruah pasukannya setelah dia menyepak tinggi melewati palang sekali gus membolehkan Selangor membawa pulang tiga mata berharga.
Previous
Next Post »
loading...