loading...
loading...

MH370 : Saya Buat Laporan Polis Atas Rasa Tanggungjawab - Jamil Omar


SANDAKAN: Lelaki yang membuat laporan polis mengenai penemuan bangkai pesawat dengan bendera Malaysia di sebuah pulau di selatan Filipina berkata dia membuat laporan terbabit atas rasa tanggung jawab untuk menyampaikan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Menceritakan kembali bagaimana dia memperoleh maklumat tersebut, Jamil berkata dia mendengar cerita mengenai penemuan itu menerusi ibu saudaranya, Siti Kayam Kisung, 57 pada Khamis lalu.

"Sebaik dengar dakwaan itu, saya mengambil keputusan membuat laporan polis kerana ia menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia.‎

"Tambahan lagi, tiada kejadian pesawat lain di dunia yang dilaporkan hilang selain MH370 dan ini menguatkan keinginan saya untuk sampaikan maklumat itu," katanya ‎ketika ditemui ‎rumahnya di Kampung TB Ward, Batu 2 memetik laporan dari BH Online.

Menurut Jamil, ibu saudaranya berasal dari Pulau Tabawan, selatan Filipina datang ke Sabah pada Khamis lalu bersama bendera Malaysia yang didakwa ditemui di dalam satu bangkai pesawat oleh penduduk pulau yang sedang berburu burung.

"Saya kemudian bawa bendera itu ke balai polis bersama tiga keping gambar pulau untuk dijadikan bukti," katanya.‎

Tambah Jamil, sama ada laporan itu benar atau sebaliknya, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

Siti Kayam pula berkata dia mengetahui mengenai cerita mengenai penemuan bangkai pesawat ketika dia ke pulau Sugbay pada September lalu untuk melawat ahli keluarga.

"Mereka tidak kenal bendera Malaysia dan tidak tahu apa-apa mengenai pesawat yang hilang sebab tempat terpencil, tiada komunikasi," katanya yang turut menambah tiada penduduk yang mengambil gambar pesawat terbabit.

Semalam, pihak polis mengesahkan mereka menerima satu laporan tentang penemuan satu rangka pesawat beserta rangka manusia yang ditemui di sebuah pulau di Filipina.

Baca : Polis Siasat Dakwaan Temui Bangkai Pesawat Dipercayai MH370 di Filipina
Previous
Next Post »
loading...