loading...
loading...

Mahkamah Persekutuan Putuskan Mak Nyah Tidak Boleh Berpakaian Seperti Wanita


Putrajaya: Mahkamah Persekutuan semalam telah membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 menghukum lelaki berpakaian wanita sebagai tidak berperlembagaan.

Memetik laporan Harian Metro, Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara membenarkan bantahan kerajaan Negeri Sembilan dan lima lagi terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Hakim Md Raus telah memutuskan keputusan permohonan untuk mencabar kesahihan enakmen itu tidak boleh dibuat melalui semakan kehakiman.

Menurut beliau lagi responden berkenaan tidak mengikut prosedur yang betul dan hakim di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tidak sepatutnya melayan permohonan itu.

Turut bersidang adalah Hakim Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan tiga transgender iaitu Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30.

Dalam keputusan itu Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 66, Enakmen Jenayah Syariah Undang-undang Negeri Sembilan 1992 tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan. 
Previous
Next Post »
loading...