loading...
loading...

Kesan Kejatuhan Ringgit, Toyota Terpaksa Naikkan Harga Kereta



KUALA LUMPUR: Pengedar kenderaan Toyota, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota), dilaporakan akan mengumumkan harga baru bagi model Toyota dan Lexus di pasaran tempatan pada Januari tahun depan.

Memetik laporan Utusan Online, perubahan harga ini akan melibatkan kenaikan antara empat hingga 16 peratus bermula Januari 2016, atas alasan kemerosotan nilai ringgit.

Menurut kenyataan syarikat berkenaan, sepanjang tahun ini sahaja kadar ringgit telah menyusut sehingga melebihi 20 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus meningkatkan kos operasi UMW Toyota.

“Syarikat telah menilai pelbagai kaedah untuk menghadapi hal ini, namun tiada pilihan untuk terpaksa memindahkan sedikit kenaikan kos ini terhadap pengguna sebagai mengimbangi kesan pengukuhan dolar AS,” jelas syarikat itu dalam kenyataannya.

Presiden UMW Toyota, Datuk Ismet Suki berkata, perubahan nilai ringgit yang jatuh teruk telah menjejaskan operasi syarikatnya memandangkan beberapa alat ganti dan komponen adalah barangan yang diimport dan sekali gus menaikkan kos operasi keseluruhan.

“Syarikat telah berusaha untuk mengurangkan impak kemerosotan nilai ringgit ini. Namun malangnya, kemerosotan mata wang ini berlaku dengan pantas dalam tempoh yang singkat.

“Oleh itu syarikat perlu menaikkan harga model-model Toyota dan Lexus. Peningkatan harga ini tidak boleh dielakkan kerana tiada petunjuk untuk menjelaskan bilakah nilai ringgit akan kembali meningkat,” katanya.

Tambah Ismet, walaupun akan menaikkan harga kenderaannya, namun peningkatan itu hanya mengimbangi separuh daripada kenaikan kos yang dialami dan bukannya 100 peratus.

“Jika ringgit secara berterusan merosot, kami mungkin melakukan kajian semula struktur harga ini."

"Pihak kami optimis kenaikan harga model-model Toyota dan Lexus itu tidak akan memberi impak yang besar kepada jualannya syarikat. Hal itu lebih-lebih lagi apabila UMW Toyota kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran yang dibuat," katanya. 
Previous
Next Post »
loading...